GANJA
(KESAN DALAM TUBUH MANUSIA)
Bahan Kimia yang terdapat pada Ganja terkumpul dalam tubuh manusia. 30% - 50% THC tertinggi dalam tubuh manusia seminggu selepas menghisap sebatang rokok ganja dan dianggarkan bahawa 4 – 6 minggu berlalu sebelum semua THC di keluarkan daripada tubuh mengikut proses fisiologi normal. Jika seseorang menghisap ganja terus menerus dalam satu minggu atau satu bulan, THC sentiasa terkumpul dalam semua sel tubuh, terutama sekali di bahagian otak, paru –paru dan organ pembiakan, yang mana akan mengubah peribadi dan kelakuan orang itu .
(KESAN KEPADA PARU-PARU)
Ganja mendatangkan kerosakan yang teruk kepada paru-paru dalam masa yang singkat (18-24 bulan). Penghisap ganja sering batuk apabila menyedut asap ganja. Asap ganja mengandungi THC, bahan kimia lain (yang menyakiti paru-paru) serta racun-racun seperti karbon monoksida dan ammonia. Kesan asap ini begitu teruk sekali hingga para saintis menyatakan bahawa kesan 5 batang rokok ganja adalah sama seperti 112 batang rokok tembakau. Asap ganja juga merosakkan system ketahanan paru-paru yang secara normal berfungsi untuk membinasakan bahan asing dan bacteria.
Penyakit bronchitis dan sakit dada sering berlaku di kalangan penghisap ganja. Selain daripada itu, penyakit laryngitis, lebih (asthma) dan tanda-tanda awal penyakit kenser paru-paru juga dilaporkan. Kerosakan paru-paru pada pesakit yang telah menghisap ganja selama setahun atau kurang dari itu, adalah lebih teruk daripada mereka yang telah menghisap 1½ bungkus rokok tembakau selama 10 tahun atau lebih. Rokok ganja tidak mempunyai tapisan (filter) dan dihisap sehingga hangus . Akibatnya paru-paru seseorang itu menjadi hitam dan terdapat kerosakan struktur paru-paru yang teruk.
Ini tidak menghairankan memandangkan bahawa ganja mengeluarkan 50% lebih banyak tar daripada tembakau . Lebih banyak tar disedut ke dalam paru-paru memandangkan rokok ganja tidak bertapis dan dihisap sehingga hangus . Tar ganja juga mengandungi lebih daripada 150 hidrokarbon, termasuk bahan kimia yang menyebabkan kanser. Dengan itu hanya sedikit sahaja rokok ganja yang diperlukan untuk membawa perubahan menyerupai kanser . Keadaan menjadi lebih teruk apabila penghisap ganja juga menghisap rokok tembakau dengan kerap. Oleh kerana asap ganja disedut ke dalam paru-paru dan mengandungi banyak bahan kimia yang diketahui menyebabkan kanser, penggunaannya secara kerap atau berterusan akan menyebabkan kanser. Walau bagaimanapun, kanser paru-paru hanya ketara selepas 30-40 tahun.
(KESAN KEPADA JANTUNG)
Ganja mengubah fungsi jantung. Ia meningkatkan kadar debaran jantung dan menjejas pengaliran darah yang munkin menyebabkan sakit dada pada mereka yang menghidap penyakit jantung.
(KESAN GANJA KEATAS OTAK)
THC terkumpul dalam otak. Oleh kerana THC dibersihkan daripada tubuh dengan begitu perlahan sekali, sesiapa yang menghisap ganja lebih daripada sekali dalam sebulan tidak akan bebas daripada kesan ganja.
Ganja mengubah personaliti penghisap. Bukti menunjukkan bahawa seseorang itu hanya perlu menghisap dua batang rokok ganja seminggu selama 3 bulan sebelum perubahan kelakuan berlaku. Ia tidak lagi mempedulikan keadaan/masalah sekelilingnya dan tidak lagi berasa bimbang. Penghisap ganja mengubah perlakuan diri sendiri tanpa menyelesaikan masalah yang dihadapi. Apabila keupayaan mentalnya menjadi semakin lemah, ia tidak sedikit pun menggambil akan masalah yang dihadapi.
(KESAN GANJA KEPADA PERSONALITI)
Ganja mempunyai kesan buruk keatas personaliti seseorang penagih. Ia merosakkan personaliti secara keseluruhan dan menyebabkan seseorang itu mengasingkan diri daripada keluarga dan bergaul hanya dikalangan penagih ganja. Perubahan yang paling ketara pada penghisap ganja ialah sikap tidak peduli (apathy), motivasi,dan tidak mengambil berat akan masa hadapan mereka.
Ramai penghisap ganja yang tidak sedar akan perubahan kepada dirinya akibat menggunakan ganja. Mereka menafikan sebarang kerosakan yang berlaku dan cuba membuat alasan. Apa yang tidak disedari oleh penghisap ganja ialah bahan ini merosakkan bahagian otak yang bertanggungjawab mengawal serta menilai kelakuan diri. Walaupun kerosakan mental yang berlaku pada diri penghisap adalah ketara kepada orang lain, namun penghisap ganja tidak menyedari dan mereka membuat anggapan diri mereka sebagai normal.
Ganja membawa kesan ke atas remaja dari segi menggangu proses kematangan mereka. Mereka tidak dapat mengatasi masalah emosi, mental, sosial dan fizikal. Sebagai jalan keluar, mereka mengambil ganja untuk melupakan masalah-masalah tersebut. Ganja merosakkan daya pemikiran, pemahaman, percakapan dan pengiraan. Ia melemahkan daya tumpuan, keupayaan mempertimbangkan dan menyelesaikan masalah kompleks, kebolehan mengatasi ketegangan, dan berfikir secara abstrak. Ganja juga melemahkan daya ingatan. Ganja memperdayakan pengguna yang percaya bahawa kebolehan mereka untuk berlajar, bermain muzik dan sebagainya lebih baik ketika mereka menghisap ganja walaupun adalah nyata kepada orang lain bahawa prestasi mereka telah menurun.
(BAHAYA MENAGIH GANJA)
Semakin banyak kes dilaporkan bahawa penghisap ganja menghadapi kesusahan untuk berhenti daripada tabiat mereka. Ini adalah akibat penggunaan ganja yang dikatakan menyeronokkan. Penghisap ganja terpaksa menambah jumlah ganja yang dihisap kerana daya tahan mereka terhadap dadah tersebut meningkat.
Penghisap ganja tidak dapat mengawal jumlah ganja yang digunakan . Hidup mereka tertumpu kepada ganja dan mereka terus menggunakannya walaupun terdapat tanda-tanda yang ganja merosakkan mereka. Ini merupakan bukti bahawa pergantungan secara psikologikal telah berlaku.
Terdapat juga bukti yang menunjukkan bahawa gejala tarikan seperti marah-marah, tidak boleh tidur, sakit perut dan hilang selera makan berlaku kepada penghisap ganja kronik yang cuba untuk berhenti menghisap ganja. Ini menunjukkan bahawa ganja juga boleh mendatangkan pergantungan secara fizikal.